OLEH DANIAL DZULKIFLY
SHAH ALAM, 7 JAN: Ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan stabil tahun ini, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan antara 4.0 hingga 5.5 peratus.
Pakar ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata ramalan itu berikutan pertumbuhan ekonomi negara mengikut trajektori pemulihan semula jadi pascapandemik sejak 2021.
"Untuk 2025, kami menjangka pertumbuhan antara 4 hingga 4.8 peratus, dengan kemungkinan puncaknya menjelang 2026," katanya, sambil menekankan peranan penting sektor pembuatan dan pelancongan.
Menurutnya, kepulangan Donald Trump ke Rumah Putih sebagai presiden ke-47 Amerika Syarikat (AS) bakal memberi kesan besar kepada ekonomi Malaysia yang bergantung kepada perdagangan.
[caption id="attachment_679976" align="alignleft" width="411"] Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai[/caption]
Dr Barjoyai turut mengulas penglibatan Malaysia dalam kumpulan Brics, selaras matlamat negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS.
"Walaupun eksport Malaysia ke AS meningkat 30 peratus, ancaman pentadbiran Trump untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas anggota Brics boleh menjadi cabaran. Namun, perubahan ini mungkin menguntungkan Malaysia apabila firma global mempelbagaikan rantaian bekalan dari China," katanya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan Kerangka Ekonomi Madani juga menunjukkan tanda awal yang positif, dengan minat pelaburan sebanyak RM300 bilion, selain peningkatan gaji minimum.
Dalam pada itu, Dr Barjoyai menekankan kepentingan komunikasi kerajaan dalam menyampaikan dasar mereka dengan jelas dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada rakyat.
"Cabaran adalah mengimbangi sentimen jangka pendek dengan matlamat jangka panjang. Kemajuan nyata dalam penciptaan pekerjaan, pertumbuhan pendapatan dan pengurangan kos sara hidup," katanya.