SHAH ALAM, 18 MEI: Bekalan makanan negara termasuk beras mencukupi sehingga hujung tahun ini dan rakyat tidak perlu bimbang mengenainya, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, semalam.
Tambahnya, kerajaan juga sentiasa memantau isu berkenaan tanpa mengira negeri dan perbezaan politik.
“Hal keterjaminan makanan kita tak kira negeri, tak kira warna. Biru ke, Hijau ke, yang rajin kita sokong. Yang malas Oren pun aku sokong.
“Ini sikap kita untuk menjamin keterjaminan makanan pada masa depan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan di Johor Bahru, semalam, dipetik Malaysiakini.

Jelas Mohamad lagi, kerajaan juga mengambil pendekatan telus dengan berkongsi maklumat keadaan ekonomi semasa secara berkala kepada rakyat.
Ini termasuk perkembangan harga minyak dan keadaan kewangan negara yang diumumkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
“Maknanya kita tak menyembunyikan sesuatu,” katanya dipetik.
Menyentuh isu bekalan makanan ruji beras, beliau berkata stok sedia ada dijangka mencukupi sehingga hujung tahun ini.
“Bila kita mengatakan beras kita cukup insya-Allah hingga akhir tahun… ertinya stok yang ada ini hingga hujung tahun ini cukup. Rakyat jangan bimbang,” katanya.
Sebelum ini, Penasihat Ekonomi Kanan di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Nurhisham Nussein dilaporkan sebagai berkata yang krisis bekalan global dijangka memuncak pada Jun dan Julai, dengan banyak syarikat akan mula berdepan masalah bekalan bahan mentah untuk meneruskan operasi.
"Banyak perniagaan ketika ini masih bergantung kepada stok lama yang sedia ada. Namun menjelang pertengahan tahun, stok itu dijangka habis digunakan sedangkan bekalan baharu masih belum tiba," katanya menerusi temu bual dalam audio siar BFM.
Beliau berkata, keadaan semasa amat mencabar kerana walaupun sumber bekalan alternatif boleh diperoleh, proses penghantaran masih berdepan kelewatan dan tidak mampu menampung permintaan industri dalam tempoh segera.
Menurutnya, krisis berkenaan berlaku dalam beberapa gelombang yang dijangka semakin dirasai syarikat tempatan dalam tempoh terdekat.
Katanya, gelombang pertama membabitkan kekurangan bekalan bahan api serta kenaikan harga tenaga yang memberi kesan langsung kepada kos operasi dan logistik.
Gelombang kedua pula berlaku apabila industri mula kehabisan bahan asas atau feedstock untuk sektor petrokimia yang penting kepada pelbagai industri pembuatan.








