Penutupan ruang udara Timur Tengah mungkin jejaskan penerbangan - CAAM

1 Mac 2026, 6:31 AM
Penutupan ruang udara Timur Tengah mungkin jejaskan penerbangan - CAAM

PUTRAJAYA, 1 MAC: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Timur Tengah baru-baru ini, berkemungkinan menjejaskan operasi beberapa perkhidmatan penerbangan antarabangsa.

Menurut CAAM, syarikat penerbangan yang beroperasi ke dan dari rantau yang terjejas mungkin berdepan kelewatan, penjadualan semula, perubahan laluan atau pembatalan susulan sekatan ruang udara yang sentiasa berubah dan pertimbangan operasi.

"Langkah ini diambil demi kepentingan keselamatan dan bagi mematuhi keperluan penerbangan antarabangsa.

"CAAM memantau situasi ini dengan rapat dan berhubung dengan syarikat penerbangan berkaitan bagi memastikan kepentingan penumpang terus dilindungi," menurut kenyataan itu.

Menerusi nasihat kepada syarikat penerbangan, pihak berkuasa mengingatkan pengendali penerbangan ke dan dari Malaysia supaya segera memaklumkan kepada penumpang sebarang perubahan waktu berlepas dan ketibaan yang dijadualkan termasuk kelewatan, penjadualan semula, perubahan laluan atau pembatalan.

Syarikat penerbangan turut digesa menyediakan penjagaan, bantuan dan pilihan perjalanan alternatif kepada penumpang yang terjejas selaras dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC).

"Kekalkan komunikasi yang jelas, tepat pada masanya dan telus sepanjang tempoh gangguan. Syarikat penerbangan diharap mengambil langkah-langkah yang munasabah dan memastikan pematuhan penuh dengan keperluan kawalan pada setiap masa," menurut kenyataan itu.

CAAM turut menasihati penumpang yang melakukan perjalanan ke, dari atau transit dari rantau terjejas, supaya menyemak status penerbangan mereka secara terus dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum ke lapangan terbang.

Penumpang juga perlu memastikan maklumat dalam rekod tempahan adalah tepat dan dikemas kini untuk menerima notifikasi serta hubungi syarikat penerbangan untuk pilihan tempahan semula, bayaran balik atau bantuan lanjut sekiranya berlaku sebarang gangguan.

Mereka yang merasakan hak mereka di bawah MACPC tidak dipatuhi, perlu mendapat penyelesaian dengan syarikat penerbangan terlibat terlebih dahulu. Sekiranya perkara itu masih tidak diselesaikan, aduan boleh dikemukakan melalui saluran pengguna rasmi CAAM untuk semakan lanjut.

CAAM akan terus memantau perkembangan dan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan industri untuk memastikan operasi selamat dan melindungi pihak pengguna.