SHAH ALAM, 12 SEPT: Kerajaan Sarawak menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) berhampiran Long Lellang, Ulu Baram kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata pihaknya mendapatkan maklumat berkaitan operasi penerbangan berkenaan sebaik menerima laporan nahas pada Selasa lalu.
Menurutnya, keutamaan ketika kejadian adalah memastikan operasi menyelamat dan membawa pulang mangsa dapat dilaksanakan segera, manakala penentuan punca nahas perlu diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Setiap kemalangan, sama ada kapal terbang atau helikopter, mempunyai prosedur operasi standard (SOP). Jadi kita tunggulah siasatan secara profesional dan mengikut peraturan undang-undang,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat andaian atau spekulasi mengenai punca kejadian sebelum laporan rasmi dikeluarkan.
Mengenai operasi di Lapangan Terbang Long Lellang, Kim Shin berkata pihaknya masih menunggu pengesahan daripada Malaysia Airports dan CAAM berhubung kebenaran untuk membuka semula lapangan terbang berkenaan.
“Ada cadangan supaya operasi disambung semula hari ini, namun keputusan muktamad masih bergantung kepada notis dan kelulusan pihak berkuasa penerbangan serta pengurusan lapangan terbang.
“Kita tunggu pengumuman Malaysia Airports dan CAAM,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan meneliti laporan serta maklum balas CAAM dan agensi berkaitan sebelum mempertimbangkan sebarang langkah tambahan bagi meningkatkan keselamatan operasi penerbangan, khususnya ke kawasan pedalaman.
Beliau berkata setiap pesawat perlu mematuhi peraturan penerbangan termasuk mendapatkan kelulusan daripada menara kawalan dan kawalan trafik udara, selain memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
Pada masa sama, Kim Shin menegaskan perkhidmatan FDS masih sangat penting kepada Sarawak, khususnya bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.
“Ini memang satu keperluan untuk rakyat kita yang tinggal di pedalaman dan luar bandar.
“Perkhidmatan Doktor Udara ini sudah lama kita jalankan di Sarawak,” katanya.






