Insentif khas Aidilfitri: WAJAR rakam penghargaan, komited perkukuh profesionalisme kewartawanan

28 Feb 2026, 9:08 AM
Insentif khas Aidilfitri: WAJAR rakam penghargaan, komited perkukuh profesionalisme kewartawanan
Insentif khas Aidilfitri: WAJAR rakam penghargaan, komited perkukuh profesionalisme kewartawanan
Insentif khas Aidilfitri: WAJAR rakam penghargaan, komited perkukuh profesionalisme kewartawanan

SHAH ALAM, 28 FEB: Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR) merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Selangor atas penyaluran sumbangan Insentif Khas Kita Selangor Aidilfitri (IKSA) 2026 sebanyak RM1,000 kepada setiap ahlinya.

Sumbangan berkenaan disifatkan sangat bermakna terutama menjelang sambutan Aidilfitri, khususnya bagi membantu ahli membuat persediaan perayaan dengan lebih tersusun dan teratur.

Pertubuhan itu turut menzahirkan penghargaan kepada Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari selaku Penaung WAJAR atas kepekaan terhadap peranan pengamal media dalam memastikan penyampaian berita yang benar, beretika dan bertanggungjawab.

Pengerusi WAJAR Norrasyidah Arshad berkata, inisiatif itu melayakkan 71 ahli berdaftar menerima manfaat sumbangan berkenaan.

Beliau berkata sebahagian ahli WAJAR terdiri daripada wartawan dan jurugambar sambilan, justeru bantuan tersebut memberi kelegaan dalam membuat persiapan menjelang perayaan.

“Ia satu pengiktirafan terhadap peranan serta sumbangan pengamal media di Selangor dalam menyampaikan maklumat yang tepat, bertanggungjawab dan telus kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

WAJAR turut menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh profesionalisme kewartawanan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

“WAJAR komited untuk terus memperkukuh profesionalisme kewartawanan dan memastikan setiap laporan yang dihasilkan mematuhi etika serta prinsip kewartawanan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

“Sokongan berterusan Kerajaan Negeri merupakan satu pengiktirafan terhadap peranan media sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri.

“WAJAR komited untuk terus menjunjung prinsip kewartawanan berintegriti serta memainkan peranan membina masyarakat yang berinformasi dan sejahtera,” katanya.

Amirudin sebelum ini diumumkan sebagai penaung WAJAR, yang ditubuhkan pada Julai lalu bagi memperjuangkan kebajikan pengamal media di Selangor.

WAJAR merupakan pertubuhan wartawan negeri terakhir yang didaftarkan di bawah Gabungan Kelab Media Malaysia, selain diselia Kementerian Komunikasi dan berdaftar dengan Majlis Media Malaysia.

Selangor mengumumkan IKSA 2026 berjumlah RM66.25 juta yang akan memanfaatkan lebih 72,000 penerima seluruh negeri sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Apa reaksi anda?