SHAH ALAM, 24 NOV: Industri media kini berdepan cabaran besar dalam menyampaikan berita sahih dengan pantas, bagi menangkis ledakan berita tular di media sosial.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kitaran maklumat yang pesat kadangkala mencetuskan kekeliruan seperti yang pernah dialami Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Peristiwa bencana banjir 2021 dan insiden Putra Heights baru-baru ini menunjukkan bahawa keupayaan masyarakat dan pihak berkuasa untuk menyebarkan maklumat tepat amat penting bagi mengurangkan risiko yang tidak perlu.
"Sebelum ini, kes adik Zara Qairina juga membuktikan bahawa sebahagian perkara yang tular sukar dikawal atau dilawan dengan berita yang direkodkan dengan betul,” katanya pada majlis pelancaran Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (Wajar) di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Hadir sama barisan EXCO dan wakil rakyat, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree.

Dalam majlis sama, Amirudin diumumkan sebagai penaung Wajar, pertubuhan yang julung kali ditubuhkan pada Julai lalu bagi memperjuangkan kebajikan pengamal media di Selangor.
Pengerusi Wajar, Norrasyidah Arshad, berkata pertubuhan itu akan menghimpunkan wartawan dan jurugambar dari pelbagai organisasi dengan matlamat utama mengangkat martabat kewartawanan beretika.

“Matlamat utama pertubuhan ini adalah memperjuangkan kebajikan ahli. Isu gaji wartawan yang rendah, termasuk di Sabah, mendapat perhatian perdana menteri dan kita akui ia turut berlaku di Selangor.
”Hampir separuh pengamal media di negeri ini adalah staf sambilan. Ini antara matlamat penubuhan kami,” katanya.
Wajar kini mempunyai 80 anggota dan merupakan pertubuhan wartawan negeri terakhir yang didaftarkan di bawah Gabungan Kelab Media Malaysia, selain diselia Kementerian Komunikasi dan berdaftar dengan Majlis Media Malaysia.







