SHAH ALAM, 27 FEB: Dato’ Menteri Besar hari ini mengumumkan Insentif Khas Kita Selangor Aidilfitri (IKSA) 2026 berjumlah RM1,000 kepada pengamal media yang berdaftar dengan Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR).
Dato' Seri Amirudin Shari berkata tahun ini insentif khas yang diberikan sedikit berbeza kerana turut melibatkan pengamal media yang berdaftar dengan pertubuhan itu seperti wartawan dan jurugambar.
“Tahun ini kita bagi sebulan (penjawat awam Selangor dan ada juga untuk penjawat awam persekutuan. Juga tahun ini untuk komuniti wartawan yang berdaftar di bawah WAJAR termasuk jurukamera dan juga pasukan, yang kita beri duit raya RM1,000 untuk mereka. Jadi itu sedikit beza dia.
“Jadi insya-Allah kalau pencapaian kita baik, juga sebagaimana lazim, akhir tahun nanti kita akan nilai semula untuk pemberian BKK (bantuan khas kewangan) untuk fasa kedua,” katanya ditemui selepas Majlis Akrab Mahabbah Insani Ramadan di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam di sini malam ini.
Amirudin hari ini mengumumkan IKSA RM1,000 kepada pengamal media berdaftar dengan WAJAR dengan penyaluran insentif akan diuruskan melalui Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor dengan kerjasama Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menjelang Aidilfitri.
Amirudin sebelum ini diumumkan sebagai penaung WAJAR, yang ditubuhkan pada Julai lalu bagi memperjuangkan kebajikan pengamal media di Selangor.
WAJAR merupakan pertubuhan wartawan negeri terakhir yang didaftarkan di bawah Gabungan Kelab Media Malaysia, selain diselia Kementerian Komunikasi dan berdaftar dengan Majlis Media Malaysia.
Selangor mengumumkan IKSA 2026 berjumlah RM66.25 juta yang akan memanfaatkan puluhan ribu penerima seluruh negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Amirudin berkata peruntukan berkenaan yang akan disalurkan 19 Mac ini merangkumi pemberian IKSA kepada semua penjawat awam negeri berjumlah satu bulan gaji atau minimum RM1,000.
Selain itu, IKSA satu bulan elaun atau minimum RM500 turut memanfaatkan pemimpin masyarakat seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pegawai perhubungan kampung baru/bagan, ketua komuniti India, Penyelia Wanita Berdaya (PWB) serta Penggerak Belia Selangor (PeBS).
Bagi petugas masjid dan guru rakyat di Selangor akan menerima insentif RM500 selain IKSA RM300 kepada 50,000 penjawat awam persekutuan seperti anggota polis, tentera, bomba, guru dan jururawat bergaji RM3,000 dan ke bawah yang merupakan lantikan tetap dan berkhidmat di negeri ini.







