SHAH ALAM, 21 MAC: Pembayaran Insentif Khas Kita Selangor Aidilfitri (IKSA) kepada pegawai persekutuan di negeri ini dijangka dibuat melalui gaji April 2026.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan penyaluran peruntukan bagi tujuan tersebut telah dibuat kepada kementerian masing-masing pada 16 Mac lalu.
"Urusan pembayaran kepada pegawai adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Bahagian Kewangan dan Akaun setiap kementerian.
"Proses pembayaran IKSA akan dilaksanakan berdasarkan kelayakan pegawai serta tertakluk kepada pemprosesan Pusat Tanggungjawab (PTJ) di kementerian, jabatan atau agensi masing-masing," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Sehubungan itu, pegawai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menyemak status bayaran disarankan merujuk terus kepada Bahagian Kewangan dan Akaun di tempat bertugas.
Kerajaan Negeri turut menegaskan proses dan tempoh pembayaran adalah tertakluk kepada peraturan kewangan semasa yang berkuat kuasa.








