SHAH ALAM, 27 FEB: Insentif Khas Kita Selangor Aidilfitri (IKSA) 2026 yang memanfaatkan puluhan ribu penerima termasuk petugas media disifatkan komitmen serius Kerajaan Negeri memastikan kebajikan rakyat terbela terutama menjelang sambutan Aidilfitri.
Bendahari Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR) Norzamira Che Noh, berkata insentif diterima wartawan dan jurugambar yang berdaftar dengan pertubuhan itu, bukan sekadar meringankan beban persiapan Aidilfitri, malah menjadi suntikan semangat serta penghargaan terhadap peranan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Insentif ini akan membantu persiapan ahli kita terutamanya dalam kalangan wartawan sambilan menjelang Aidilfitri,” katanya ditemui selepas Majlis Akrab Mahabbah Insani Ramadan di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam di sini, malam ini.

Kakitangan Jabatan Perhutanan Selangor Mohd Nor Firdaus Rahim berkata, insentif satu bulan gaji atau minimum RM1,000 untuk penjawat awam yang diumumkan bukan sahaja membantu persiapan Aidilfitri dengan lebih teratur, malah menyuntik motivasi untuk terus berkhidmat dengan lebih komited dan cemerlang.
“Terima kasih untuk insentif ini yang membantu persiapan Aidilfitri dan menjadi suntikan untuk bekerja lebih semangat selari dengan arus pemodenan sekarang,” katanya.

Bagi kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor Juliza Mohamad Jamil, insentif itu akan digunakan untuk persiapan Aidilfitri termasuk pembelian baju dan kuih raya selain menyuntik motivasi kerja.
“Alhamdulillah, jutaan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar atas pengumuman insentif persiapan hari raya. Insya-Allah akan digunakan untuk persiapan baju dan kuih raya untuk keluarga. Selain itu, ini merupakan satu motivasi kepada kami penjawat awam Selangor untuk bekerja lebih bersungguh-sungguh dan berdedikasi,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan IKSA 2026 berjumlah RM66.25 juta memanfaatkan puluhan ribu penerima seluruh negeri sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Beliau berkata peruntukan berkenaan yang akan disalurkan 19 Mac ini merangkumi pemberian IKSA kepada semua penjawat awam negeri berjumlah satu bulan gaji atau minimum RM1,000.
Selain itu, IKSA satu bulan elaun atau minimum RM500 turut memanfaatkan pemimpin masyarakat seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pegawai perhubungan kampung baru/bagan, ketua komuniti India, Penyelia Wanita Berdaya (PWB) serta Penggerak Belia Selangor (PeBS).
Petugas masjid dan guru rakyat di Selangor menerima insentif RM500 selain IKSA RM300 kepada 50,000 penjawat awam persekutuan seperti anggota polis, tentera, bomba, guru dan jururawat bergaji RM3,000 dan ke bawah yang merupakan lantikan tetap dan berkhidmat di negeri ini.

Amirudin turut mengumumkan IKSA RM1,000 kepada wartawan dan jurugambar berdaftar dengan WAJAR dengan penyaluran insentif akan diuruskan melalui Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor dengan kerjasama Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menjelang Aidilfitri.
Amirudin sebelum ini diumumkan sebagai penaung WAJAR, yang ditubuhkan pada Julai lalu bagi memperjuangkan kebajikan pengamal media di Selangor.
WAJAR merupakan pertubuhan wartawan negeri terakhir yang didaftarkan di bawah Gabungan Kelab Media Malaysia, selain diselia Kementerian Komunikasi dan berdaftar dengan Majlis Media Malaysia.






