Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah terbakar

27 Feb 2026, 2:10 PM
Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah terbakar
Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah terbakar
Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah terbakar
Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah terbakar
Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah terbakar

KANGAR, 27 FEB: Tujuh sekeluarga hilang tempat tinggal serta persiapan Aidilfitri selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Padang, Simpang Empat, di sini jam 5.10 petang semalam.

Kejadian itu menyebabkan warga emas Manis Salleh, 76, bersama anak perempuannya Siti Hajar Hassan, 34, menantu Hasnul Hadi Yahya, 53, serta empat cucunya berusia antara dua hingga 12 tahun, tinggal sehelai sepinggang apabila gagal menyelamatkan sebarang barangan.

Siti Hajar berkata ketika kejadian beliau sedang memasak di dapur sebelum menyedari keadaan rumah menjadi gelap dipenuhi asap dan api kelihatan sudah marak.

“Saya nampak rumah macam kelam dan bila buka pintu dapur, api sudah marak dan menjulang tinggi. Saya terus jerit panggil ibu beritahu rumah terbakar, tetapi api merebak terlalu cepat dan kami tak sempat selamatkan apa-apa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata api dipercayai merebak dengan pantas akibat keadaan berangin hingga menyebabkan rumah berkenaan musnah sepenuhnya dalam tempoh kira-kira 10 minit.

“Semua habis termasuk pakaian, kelengkapan sekolah anak-anak dan persiapan raya yang kami sudah beli lebih awal. Anak-anak asyik tanya baju sekolah dan baju raya, tetapi semuanya sudah hangus,” katanya.

Sementara itu, Hasnul Hadi yang bekerja sebagai petani berkata kerugian dianggarkan kira-kira RM70,000 termasuk rumah, sebuah kereta jenis Proton Saga, tiga motosikal dan barangan keperluan harian.

Keluarga itu kini ditempatkan sementara di rumah milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang Mohd Shukri Ramli dan menerima bantuan awal daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta kerajaan negeri bagi membantu mereka meneruskan kehidupan.

Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.15 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Empat tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian.

Wan Mohd Hamizi berkata kebakaran melibatkan rumah kelas B berkeluasan kira-kira 40 x 60 kaki persegi dengan kemusnahan dianggarkan 95 peratus selain turut melibatkan sebuah kereta dan tiga motosikal.

“Operasi pemadaman melibatkan anggota dari BBP Simpang Empat, BBP Kuala Perlis dan BBP Kangar serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran, dengan kebakaran berjaya dikawal pada 6.55 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.45 malam,” katanya.

- BERNAMA