PUTRAJAYA, 27 FEB: Seluruh rakyat Malaysia diseru agar bersama-sama mendoakan kesihatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
"Saya mengajak semua rakyat untuk sama-sama mendoakan keafiatan buat kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda," katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Menurut kenyataan Istana Negara, Sultan Ibrahim sedang gering susulan kesakitan musculoskeletal (melibatkan otot dan tulang) di bahagian belakang serta pinggul.
Istana Negara turut memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya berehat dan tidak berangkat ke sebarang majlis bagi memberi ruang kepada proses rawatan serta pemulihan.
Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta agar lebih ramai menteri turun padang untuk mendengar taklimat pembangunan daerah bagi memastikan isu-isu di peringkat daerah diberikan keutamaan.
Fahmi berkata pada Mesyuarat Kabinet hari ini, Anwar juga telah menyampaikan pandangan mengenai hasil lawatan beliau ke Bentong, Pahang pada 22 Jan lepas di mana beliau telah diberikan taklimat tentang pembangunan daerah.
"Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau akan ke daerah Kinta di Perak pada hujung Februari ini," katanya.




