MCMC siasat pihak hasil, sebar kandungan hina Agong

12 Okt 2026, 6:10 AM
MCMC siasat pihak hasil, sebar kandungan hina Agong

PUTRAJAYA, 12 OKT:  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menghasilkan dan menyebarkan kandungan didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, di platform Threads.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi Meta, penyedia platform berkenaan, susulan penyebaran imej Seri Paduka Baginda yang disunting dengan unsur penghinaan.

“Susulan itu, kandungan berkenaan telah diturunkan, manakala akaun yang terlibat turut disekat daripada diakses,” menurut MCMC.

Kenyataan itu memaklumkan tindakan lanjut boleh diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, termasuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

MCMC berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan penyedia platform bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil selaras dengan garis panduan komuniti dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, MCMC menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat naik atau menyebarkan semula kandungan berkenaan bagi mengelakkan penyebarannya terus meluas.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan melalui fungsi pelaporan pada platform Threads, Portal Aduan MCMC di https://aduan.mcmc.gov.my atau saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.