KUALA LUMPUR, 27 FEB: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sedang gering susulan kesakitan musculoskeletal (melibatkan otot dan tulang) membabitkan bahagian belakang serta pinggul yang dialami Baginda.
Istana Negara memaklumkan Seri Paduka Baginda telah dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya berehat dan tidak berangkat ke sebarang majlis rasmi bagi memberi ruang kepada proses rawatan serta pemulihan.
“Disebabkan Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani rawatan susulan, Seri Paduka Baginda tidak dapat berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Ketua Perwakilan Asing dan Pegawai Kanan Kerajaan di Istana Negara yang berlangsung kelmarin,” menurut Istana Negara dalam kenyataan hari ini.
Istana Negara turut memaklumkan majlis perasmian Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sultan Ibrahim yang dijadualkan berlangsung semalam ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda bertitah akan kembali berangkat ke majlis-majlis rasmi sebaik sahaja kesihatan Baginda beransur pulih.




