PJ Watch berkesan, lokasi sampah haram turun 50 peratus

27 Feb 2026, 8:20 AM
PJ Watch berkesan, lokasi sampah haram turun 50 peratus
PJ Watch berkesan, lokasi sampah haram turun 50 peratus
PJ Watch berkesan, lokasi sampah haram turun 50 peratus

PETALING JAYA, 27 FEB: Pelaksanaan Program Petaling Jaya Watch (PJ Watch) berjaya mengurangkan lokasi pembuangan sampah haram sebanyak 50 peratus sekali gus mengisytiharkan kawasan terlibat sebagai bersih.

Datuk Bandar Petaling Jaya Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan pintar serta pemantauan berfokus yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam menangani isu berkenaan.

Menurutnya, jumlah lokasi sampah haram menurun daripada 48 lokasi sepanjang tahun lalu kepada 24 lokasi bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini.

"Sebanyak 15 lokasi tumpuan dilengkapi CCTV bergerak pada 2025 dan jumlah tersebut bertambah kepada 17 lokasi dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini bagi memperkukuh pemantauan serta tindakan segera," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan pada Mesyuarat Penuh Kedua MBPJ Tahun 2026 yang dipengerusikannya di ibu pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Sepanjang 2025, katanya, MBPJ mengeluarkan 708 kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MBPJ) 2007, manakala 46 kompaun direkodkan bagi Januari hingga Februari.

“Dari segi penguatkuasaan, 93 individu, 17 kenderaan dan 57 syarikat dikenakan tindakan sepanjang tahun lalu, berbanding 30 individu, dua kenderaan dan lapan syarikat dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata, PJ Watch turut diperluaskan melalui sesi libat urus komuniti bagi meningkatkan kesedaran awam, memperkukuh tanggungjawab sivik serta memastikan kebersihan bandar terus terpelihara sejajar aspirasi bandar mampan dan pintar.

Dalam perkembangan berkaitan, satu mesyuarat khas isu banjir akan diadakan Rabu depan bagi menilai semula perancangan serta tindakan mitigasi sedia ada.

"Kita akan panggil semua agensi terlibat untuk beri info dan kita tengok semula perancangan sedia ada. Kita juga akan panggil perunding terlibat untuk teliti sama ada perancangan itu betul atau tidak," ujar Zahri.

Beliau menegaskan walaupun pelbagai pelan telah dirangka di peringkat negeri dan nasional, kejadian banjir yang masih berulang memerlukan penelitian menyeluruh dan penambahbaikan segera.

"Rancangan dah ada, sistem takungan air hujan sudah dilaksanakan, tapi banjir masih berlaku. Jadi kita nak tengok balik dan nilai semula aspek yang perlu ditambah baik.

"Pada hari sama, satu lagi sesi perbincangan khas dijadualkan bagi membincangkan isu projek dan jalan lewat siap serta penangguhan lain melibatkan pelaksanaan pembangunan di Petaling Jaya," katanya.