Kereta terjunam Tasik Biru: PM puji tujuh pemuda selamatkan tiga beranak

26 Feb 2026, 1:00 AM
Kereta terjunam Tasik Biru: PM puji tujuh pemuda selamatkan tiga beranak

SHAH ALAM, 26 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap tujuh pemuda yang bertindak pantas menyelamatkan seorang ibu bersama dua anak kecil selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam Tasik Biru di Kundang pada Isnin.

Menurut beliau, tindakan nekad pemuda berkenaan yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi menyelamatkan mangsa wajar dipuji dan dihargai.

“Saya tersentuh tatkala membaca kisah keberanian tujuh pemuda yang bertindak pantas terjun ke dalam tasik bagi menyelamatkan seorang ibu dan dua anak kecil yang terlibat dalam nahas di Kundang.

“Tindakan nekad mereka yang mendahulukan nyawa orang lain walaupun keselamatan diri sendiri menjadi taruhan telah menyelamatkan tiga nyawa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata, keberanian dan keikhlasan semua pemuda itu mencerminkan nilai kemanusiaan dan ihsan yang amat bermakna.

Pada masa sama, beliau mendoakan agar ibu dan kedua-dua anak yang terlibat dalam insiden berkenaan diberikan kesembuhan serta berada dalam perlindungan Allah SWT.

Semalam, media melaporkan seorang ibu bersama dua anak kecil berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam Tasik Biru di Kundang.

Bagaimanapun, tindakan pantas tujuh pemuda yang berada di lokasi kejadian berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mangsa daripada lemas.

Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.