SHAH ALAM, 28 FEB: Menjelang pertengahan Ramadan, orang ramai dilihat mula membuat persiapan hari raya dengan berbelanja secara sederhana.
Tinjauan Media Selangor di Bazar Aidilfitri Kompleks PKNS Shah Alam mendapati kebanyakan pengunjung memilih untuk membeli secara berperingkat bagi memastikan perbelanjaan dapat diurus dengan lebih teratur.
Pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga, Aishya Nasarudin, 32, mengungkap rasa teruja kerana ia menjadi Syawal pertama yang disambut bersama suami, Azami Mustapa, 32.

"Tahun ini kami baru menjadi suami isteri. Jadi kami masih mencari baju raya yang bersesuaian, harga baju raya sekarang sudah mahal.
“Teruja memang teruja…maklumlah tahun pertama sambut raya bersama. Namun saya dan suami tetap berhemat dalam berbelanja keperluan raya," katanya.

Bagi Iffah Rosli, 33, dan suami, Adi Borhan, 33, Kompleks PKNS Shah Alam menjadi tempat bagi pasangan itu membeli kelengkapan hari raya pada setiap tahun.
"Kami setiap tahun memang membeli kelengkapan di sini, harga pun murah, pilihan baju raya pun banyak. Persiapan raya perlu dibuat awal kerana saya bekerja pada hari minggu, jadi kekangan masa menyebabkan kami menyiapkan keperluan raya lebih awal," katanya.

Sementara itu, bagi Nasarudin Abdul Kadir, 70, sambutan Aidilfitri tahun ini diraikan secara sederhana dengan tumpuan kepada penyediaan juadah di rumah untuk anak dan cucu yang pulang beraya.
“Baju raya kebiasaannya anak yang hadiahkan dan menyediakan pakaian baju raya. Jika beli pun beli berdasarkan kemampuan sahaja. Cuma, setiap kali sambut Aidilfitri sudah tentu saya berharapkan dapat berkumpul bersama anak dan cucu,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga yang ditemui berkata corak pembelian pada akhir waktu menjadi kebiasaan pengunjung pada setiap tahun.
Peniaga baju, Nurin Alisya Abdul Rashed, 24, berkata seperti tahun-tahun sebelumnya, kebanyakan pengunjung meninjau dan membandingkan harga terlebih dahulu sebelum mula membeli pada minggu akhir Ramadan.
"Jualan pada minggu pertama puasa tidak memberangsangkan tetapi menjelang sahaja minggu akhir Ramadan, pengunjung mula membeli persiapan Aidilfitri" katanya.

Dalam pada itu, peniaga kuih raya, Haziq Irfan, 23, pula berkata sambutan dari pengunjung pada awal Ramadan agak memuaskan kerana ada yang membeli secara pukal dan minggu-minggu akhir berpuasa barulah lebih ramai pengunjung dari sebelumnya.
"Kuih yang paling banyak permintaan antara Almond London, Tart Nenas dan Samperit. Pada minggu ke tiga dan terakhir Ramadan baru pengunjung mula membeli." katanya.














