Minat kepala naga sejak tadika bawa Shazmi temui ‘keluarga kedua’

13 Ogos 2026, 3:00 AM
Minat kepala naga sejak tadika bawa Shazmi temui ‘keluarga kedua’
Minat kepala naga sejak tadika bawa Shazmi temui ‘keluarga kedua’
Minat kepala naga sejak tadika bawa Shazmi temui ‘keluarga kedua’

DENGKIL, 13 OGOS: Minat terhadap kepala naga sejak di tadika menjadi titik permulaan Shazmi Low Shazwan Low, 24, menyertai kumpulan tarian naga dan singa hingga menganggap rakan sepasukannya sebagai keluarga kedua.

Shazmi yang mula aktif dalam seni warisan itu sejak sekolah rendah berkata hubungan mereka semakin akrab apabila rakan sepasukan sentiasa mengambil berat tentang dirinya, terutama sepanjang Ramadan.

“Mula-mula memang sebab saya suka kepala naga, tapi lama-lama bila bersama mereka, rasa macam keluarga. Ketika bulan puasa pun mereka sangat menjaga saya. Mereka akan tanya sama ada saya boleh berpuasa atau tidak dan kalau tak boleh, mereka minta saya beritahu.

“Kadang-kadang orang ingat saya orang Cina, jadi mereka akan bagi makanan, tetapi bila saya beritahu tak boleh kerana berpuasa, mereka faham dan jaga saya,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Shazmi Low Shazwan Low ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Tarian Singa dan Naga Seni Warisan Peringkat Selangor 2026 di Dewan SJK (C) Dengkil, Sepang pada 9 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Shazmi yang kini mewakili Yu Hua Dragon & Lion Dance Association Kajang memenangi hadiah utama pada Pertandingan Tarian Singa dan Naga Seni Warisan Peringkat Selangor 2026 di sini baru-baru ini.

Walaupun bekerja sebagai pengurus acara dan adakalanya pulang lewat malam, Shazmi tetap membahagikan masa untuk menjalani latihan bersama pasukannya.

“Saya kerja pengurusan acara dan ada masa lapang untuk berlatih. Kalau pertandingan macam ini, biasanya saya ambil cuti pada Khamis, manakala Selasa pun kami tetap berlatih.

“Walaupun sudah bekerja, saya tetap cuba bahagikan masa kerana sudah sayang dengan kumpulan ini,” katanya.

Jagannath Ramesh berkongsi pengalamannya bergiat dalam tarian naga dan singa ketika ditemui Media Selangor pada Pertandingan Tarian Singa dan Naga Seni Warisan Peringkat Selangor 2026 di Dewan SJK (C) Dengkil, Sepang pada 9 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, rakan sepasukannya Jagannath Ramesh, 24, yang bekerja sebagai juruteknik pendingin udara berkata penglibatannya dalam tarian singa sejak berusia 11 tahun banyak membentuk disiplin dirinya.

“Dalam tarian singa, disiplin adalah perkara paling penting. Dari awal kita sudah diajar supaya berdisiplin sebelum memikirkan soal kemenangan.

“Saya sudah sertai banyak pertandingan, termasuk di Hong Kong, China dan Sabah, selain pertandingan di Malaysia,” katanya.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Yu Hua, Nur Elissa Iris Chong Mohd Aiman Chong, 16, latihan tarian singa dan naga tiga kali seminggu tidak dianggap membebankan, sebaliknya menjadi aktiviti yang membantu menyegarkan fikirannya.

Nur Elissa Iris Chong Mohd Aiman Chong ketika menyertai Pertandingan Tarian Singa dan Naga Seni Warisan Peringkat Selangor 2026 di Dewan SJK (C) Dengkil, Sepang pada 9 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Saya memang seorang yang aktif dan suka benda yang memerlukan pergerakan. Jadi, latihan ini macam bersukan dan menyeronokkan kerana dapat berlatih bersama kawan-kawan.

“Saya tidak rasa ia mengganggu pelajaran kerana selepas berlatih, kepala jadi lebih segar,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.