SHAH ALAM, Feb 24: Selangor merekodkan jumlah kes rogol tertinggi di Malaysia antara tahun 2015 hingga 2025, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, beliau berkata sejumlah 17,609 kes rogol disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sepanjang tempoh 11 tahun itu.
Tambahnya, daripada jumlah itu, 7,090 kes sudah dibawa untuk pertuduhan.
Selangor merekodkan kes tertinggi dengan 3,392 kes dengan 1,575 kes didakwa di mahkamah. Ini diikuti Johor (2,006 kes dan 806 pertuduhan), Sabah (1,817 kes dan 505 pertuduhan) dan Kedah (1,465 kes dan 465 pertuduhan).
Perlis merekodkan jumlah terendah dengan 275 kes dan 116 pertuduhan.
Saifuddin berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkaitan statistik kes rogol mengikut negeri sejak 2015.
Lim juga meminta jawapan samada siasatan semula dilakukan ke atas kes melibatkan ibu tunggal Loh Wai Mun selepas pihak pendakwaan meminda pertuduhan daripada Seksyen 376 (rogol) kepada Seksyen 354 (mencabul kehormatan) di bawah Kanun Keseksaan tanpa pengetahuan mangsa.
"Bagi kes melibatkan mangsa Loh Wai Mun, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan secara menyeluruh di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol) sebaik sahaja laporan diterima.
"Keputusan untuk meminda pertuduhan daripada Seksyen 376 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul kehormatan) adalah di bawah bidang kuasa dan budi bicara Peguam Negara selaku Pendakwa Raya, selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
"Pindaan ini biasanya dibuat berdasarkan penilaian terhadap keterangan (evidence) yang tersedia bagi memastikan kebarangkalian sabitan yang lebih tinggi di mahkamah," katanya.








