Rogol, cederakan anak tiri: Jurukimpal dipenjara 33 tahun, 32 sebatan

6 Mei 2026, 8:17 AM
Rogol, cederakan anak tiri: Jurukimpal dipenjara 33 tahun, 32 sebatan

SHAH ALAM, 6 MEI: Seorang jurukimpal dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan 32 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan merogol dan mencederakan anak tirinya sejak 2022 hingga April lalu.

Hakim Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman selepas tertuduh berusia 40 tahun itu mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 14 tahun empat bulan pada Jun 2022 dan April 2023 antara jam 12 tengah malam dan 1 pagi di sebuah rumah di Pengkalan Kubor, Tumpat, lapor Berita Harian.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan 10 sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan terhadap mangsa sama di lokasi sama antara Mei 2025 hingga 23 April lalu antara jam 11 malam hingga 3 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan juga sebatan.

Bagi pertuduhan ketujuh, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa sama dan lokasi sama jam 11 malam pada 29 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 bagi Seksyen 323, manakala penjara bagi suatu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum bagi Seksyen 326A.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nailah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Aisyha Nailah memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan mangsa dalam kes berkenaan adalah anak tirinya selain menjadi mangsa sejak berusia 14 tahun, manakala tertuduh memohon hukuman ringan dikenakan.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 33 tahun dan 32 sebatan untuk semua pertuduhan berkenaan bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 24 April lalu.

Pada masa sama, mahkamah turut mengeluarkan perintah tambahan iaitu tertuduh perlu menjalani kaunseling sepanjang tempoh penjara serta pengawasan polis selama dua tahun sebaik tamat hukuman.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.