SHAH ALAM, 19 DIS: Seorang pengait sawit yang disahkan positif ganja direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan murid perempuan tahun lima yang didakwa baru seminggu dikenalinya.
Perintah reman terhadap suspek berusia 20 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman di Mahkamah Majistret Batu Pahat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Berdasarkan laporan polis, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.50 malam Rabu lalu di rumah suspek di Batu Pahat selepas mangsa diumpan dengan tawaran kad tambah nilai telefon.
Difahamkan, suspek berkenalan dengan mangsa menerusi media sosial sebelum berjanji untuk membelanjakan kad tambah nilai dan memberi hadiah.
Mangsa pada awalnya menolak pelawaan tersebut namun akhirnya akur selepas dipujuk, sebelum suspek menunggang motosikal sejauh kira-kira 40 kilometer untuk menjemput mangsa di rumahnya.
Bagaimanapun, mangsa tidak dibawa ke kedai seperti dijanjikan sebaliknya dibawa ke rumah suspek sebelum perbuatan itu dipercayai berlaku.
Selepas kejadian, mangsa dihantar pulang ke rumah dan menceritakan kejadian berkenaan kepada ibunya sebelum laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat keesokan hari.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) bagi menjalani pemeriksaan lanjut.


