SHAH ALAM, 16 MAC: Lelaki warga emas berusia 79 tahun dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Lahad Datu hari ini selepas didapati bersalah merogol kanak-kanak perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) dua tahun lalu.
Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman itu selepas mahkamah berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan, pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia itu didakwa merogol mangsa, seorang kanak-kanak perempuan OKU lembam berusia 10 tahun ketika kejadian.
Kesalahan tersebut didakwa berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di Lahad Datu pada 2024.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 9 Februari lalu, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao yang mengemukakan lapan saksi untuk memberi keterangan di mahkamah, lapor Harian Metro.
Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memilih untuk membela diri secara bersumpah dengan memberi keterangan bagi pihak dirinya sendiri.
Terdahulu dalam hujahnya, Juhn Tao menegaskan bahawa dalam kes melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, kepentingan awam perlu diberi pertimbangan utama oleh mahkamah.
Menurutnya, mahkamah wajar menjatuhkan hukuman yang bersifat pencegahan bagi menunjukkan masyarakat memandang serius jenayah sedemikian.
Katanya, hukuman tegas penting bagi menghantar mesej jelas bahawa kesalahan seksual terhadap kanak-kanak tidak akan dipandang ringan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya serta dirujuk ke Jabatan Imigresen bagi tindakan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman.








