SHAH ALAM, 21 FEB: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor memperketat pemeriksaan bas dan penguatkuasaan keselamatan di terminal bas bagi memastikan keselamatan penumpang, terutama bagi perjalanan jarak jauh melebihi 300 kilometer.
Menurut agensi itu, operasi harian berkenaan melibatkan pemeriksaan menyeluruh ke atas pemandu dan aspek teknikal kenderaan seperti keadaan tayar, brek serta sistem keselamatan lain.
"Untuk perjalanan yang melebihi 300 kilometer, 2 pemandu bas diperlukan bagi mengelakkan pemadu tersebut keletihan ketika memandu jauh," katanya dalam hantaran di Facebook.
Terminal yang terlibat dalam operasi berkenaan adalah Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam, dan Terminal Jalan Reko, Kajang.
JPJ Selangor menegaskan tindakan berterusan ini bertujuan mempertingkat keselamatan penumpang, memastikan perjalanan bas lebih selamat dan mematuhi peraturan pengangkutan darat.
Orang awam yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan keselamatan dan trafik boleh menyalurkan laporan kepada JPJ melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ, lengkap dengan butiran pengadu dan maklumat aduan.


