Wanita tikam ibu direman tujuh hari

21 Feb 2026, 7:20 AM
Wanita tikam ibu direman tujuh hari

SHAH ALAM, 21 FEB: Suspek wanita yang disyaki menikam ibunya di Kampung Seginyeh, Johol, Kuala Pilah malam tadi, ditahan reman selama tujuh hari sehingga 27 Februari depan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Mustafah Hussin, berkata suspek berusia 50 tahun kini ditahan di wad di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini bagi pemeriksaan lanjut, lapor Harian Metro.

"Proses permohonan reman terhadap suspek dibuat di hospital kerana keadaan kesihatannya dan doktor mengarahkan supaya wanita berkenaan dirawat.

"Suspek ditahan kira-kira jam 8 malam tadi di rumah lokasi kejadian. Buat masa ini pihak kami belum dapat mengambil kenyataan daripada suspek kerana keadaan kesihatannya yang dikatakan mengalami masalah mental, malah dikesan turut mengalami masalah kesihatan lain.

"Kenyataan yang diberikan suspek juga tidak konsisten dan sering berubah-ubah, selain seolah-olah sedang berhalusinasi. Mungkin akan mengambil sedikit masa untuk lengkapkan siasatan," katanya.

Mustafah berkata, suspek yang juga anak kandung mangsa pernah berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata dan bercerai dipercayai akibat masalah kesihatan yang dialami.

Mengulas mengenai keadaan mangsa, Mustafah berkata, warga berusia lingkungan 80-an itu berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Dalam kejadian tersebut, wanita warga emas parah selepas dikatakan ditikam anaknya pada bahagian leher di sebuah rumah di Kampung Segineh Inas, Johol.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa ditikam dengan pembuka tin oleh suspek yang juga seorang wanita yang dikatakan mempunyai masalah mental.