Polis kesan 36 individu bantu siasatan pelbagai kes jenayah

20 Feb 2026, 2:30 PM
Polis kesan 36 individu bantu siasatan pelbagai kes jenayah

SHAH ALAM, 20 FEB: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), polis Kontinjen Kuala Lumpur mengesan 36 lelaki (Orang Dikehendaki) bagi membantu siasatan kes jenayah.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata mereka dikehendaki kerana terbabit dalam pelbagai kesalahan jenayah termasuk dalam kes mendatangkan cedera, mendatangkan cedera parah menggunakan senjata, merusuh, pecah rumah serta kesalahan bunuh.

Katanya, lokasi terakhir semua individu terbabit merangkumi beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan negeri lain.

"Antara mereka yang dikehendaki ialah Low Lye Huat dari Klang, Selangor, yang disiasat atas kesalahan mendatangkan cedera manakala Ahmad Nazzer Abd Wahab dari Flat Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, dikehendaki atas kesalahan mendatangkan cedera parah menggunakan senjata.

"Billy Leong Li Sun dari Taman Setapak Indah pula disiasat mengikut Seksyen 326/148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan cedera parah manakala Magesan a/l Salva Coma dari Batu Caves, Selangor, dikehendaki bagi kes bunuh," katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis KL berkongsikan maklumat semua individu dikehendaki ini kepada orang ramai.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali individu ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai D4 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan K Rajkumar ditalian 03-21460613 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.