SHAH ALAM, 20 FEB: Pengurusan masjid di seluruh Selangor disaran lebih profesional, bersih dan mesra pengguna bagi menarik lebih ramai jemaah serta pengunjung.
Dato’ Menteri Besar berkata tadbir urus yang baik bukan sahaja meningkatkan keselesaan jemaah, malah mampu menjadikan masjid sebagai medium dakwah dan pusat interaksi masyarakat.
Sebagai contoh, Amirudin Shari berkata Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang menekankan tabdir urus cekap berjaya menarik kira-kira 100,000 jemaah dan pengunjung sepanjang tahun lalu.

“Saya tertarik dengan laporan Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Dato’ Muhammad Farhan Bijaya, bahawa tahun lalu Masjid Negeri menerima sekitar 100,000 jemaah dan pengunjung.
“Apabila masjid bersih, kemudahannya baik dan selesa, ia bukan sahaja menarik kunjungan, malah memperkukuh peranan masjid sebagai pusat penyatuan dan pembangunan ummah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mahabbah dan Penyampaian Bantuan Khas Kewangan Kali Ke-2 Tahun 2025 kepada Penggerak Masjid di Dewan Jamuan Masjid Negeri, hari ini.
Pada majlis sama, seramai 3,315 penggerak masjid daripada 445 masjid di seluruh Selangor menerima insentif khas Aidilfitri berjumlah RM1.5 juta daripada Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut Amirudin berkata pendekatan terbuka serta usaha penerangan kepada pelawat termasuk bukan Islam turut menyumbang kepada peningkatan kunjungan dan lawatan berulang.
“Ada yang datang kali kedua, ketiga dan seterusnya. Bukan hanya tertarik dengan seni bina dan keindahan masjid, tetapi nilai serta kemuliaan yang ditampilkan,” katanya.




