SHAH ALAM, 20 FEB: Seramai 3,315 penggerak masjid di 445 masjid seluruh Selangor menerima insentif khas Aidilfitri berjumlah RM1.5 juta daripada Kerajaan Negeri hari ini.
Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata kesemua anggota penggerak masjid yang terdiri daripada nazir, imam, siak dan bilal ini menerima RM500 menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

"Peruntukan ini telah diumumkan ketika pembentangan belanjawan lalu dan ia merupakan penghargaan kepada barisan pengurusan utama yang memikul amanah besar di peringkat kariah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Mahabbah dan Penyampaian Bantuan Khas Kewangan Kali Ke-2 Tahun 2025 kepada Penggerak Masjid di Dewan Jamuan Masjid Negeri, di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun jumlah bantuan berkenaan dilihat sederhana, ia mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan penggerak masjid serta memperkukuh institusi Islam di Selangor.
"Penyaluran bantuan ini diharap dapat menyuntik semangat kepada pengurusan masjid untuk terus melaksanakan tugas dengan baik, lebih berintegriti dan berkesan.
"Masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi pusat penyatuan masyarakat, pembangunan rohani dan sosial. Justeru, pengurusannya perlu dilaksanakan dengan sepenuh hati kerana impaknya besar kepada komuniti dan imej Islam secara keseluruhan," ujar beliau.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan sewajarnya supaya masjid kekal sebagai institusi penting dalam membina masyarakat yang berilmu, berakhlak dan bersatu padu.
"Tuan-tuan yang terpilih ini memikul amanah besar. Ia harus dilaksanakan dengan sepenuh jiwa serta memahami cabaran dan kesannya. Semampu mungkin, kita mahu memastikan masjid terus menjadi pusat penyatuan dan pembangunan ummah di negeri ini," katanya.


