SHAH ALAM, 20 FEB: Agihan zakat ditumpukan kepada pemerkasaan keluarga fakir dan miskin melalui pendidikan, latihan kemahiran serta keusahawanan sebagai pendekatan jangka panjang untuk membantu golongan asnaf keluar daripada kemiskinan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor), Mohd Khaidzir Shahari menjelaskan 60 hingga 65 peratus keseluruhan kutipan diperuntuk kepada usaha membantu golongan fakir dan miskin.

Katanya, Zakat Selangor melalui kerjasama institusi pengajian tinggi awam dan swasta berusaha memastikan asnaf mempunyai laluan pendidikan lebih terjamin dan tidak terhenti akibat kekangan kewangan.
Beliau berkata asnaf juga diperkasa melalui kemahiran melalui latihan teknikal dan vokasional (TVET) agar mereka berpeluang bekerja dalam industri sekali gus keluar kelompok asnaf bandar.
Mohd Khaidzir memberitahu, Zakat Selangor menyediakan bantuan modal dan bekerjasama dengan rakan industri serta usahawan berpengalaman bagi membimbing asnaf membangunkan perniagaan secara lebih tersusun dan mampan.
Katanya, bantuan seperti kewangan bulanan, perumahan, perubatan dan yuran pendidikan juga disalurkan pada masa sama mengikut keperluan setiap pemohon sebagai intervensi sokongan bagi memastikan kestabilan asas keluarga sebelum program pemerkasaan dibuat.
Beliau yakin pendekatan itu bukan sahaja memberi bantuan segera tetapi menyediakan platform jangka panjang supaya golongan asnaf berdikari dan meningkatkan taraf hidup secara mampan.




