SHAH ALAM, 20 FEB: Penyelarasan pada peringkat nasional penting bagi menangani kemiskinan bandar supaya bantuan sampai tepat kepada asnaf tanpa pertindihan dengan bentuk bantuan lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor), Mohd Khaidzir Shahari percaya penubuhan kementerian atau agensi khusus mampu memperkukuh usaha menangani isu kemiskinan bandar secara lebih menyeluruh.
“Penubuhan unit berpusat sebegini akan memberi autoriti (kuasa) dalam pemantauan dan penyelesaian, memudahkan semakan rekod secara menyeluruh serta memastikan bantuan tidak bertindih.

“Sekiranya unit berpusat diwujudkan, kami amat mengalu-alukan kerjasama dengan kementerian bagi memperkukuh penyelarasan bantuan. Pada masa sama, kerja-kerja menjejak dan membanci asnaf terus dilaksanakan secara berterusan sebagai sebahagian daripada fungsi dan tanggungjawab institusi,” katanya.
Pada 28 Januari, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mencadangkan kerajaan untuk mewujudkan kementerian khas atau agensi pusat bagi menangani isu kemiskinan bandar dengan lebih komprehensif.
Ahli Parlimen Gombak itu bimbang usaha membantu kelompok miskin bandar dikhuatiri bersifat merawat simptom tanpa menyelesaikan akar umbi permasalahan jika tiada tumpuan khusus.
Mengulas hala tuju Zakat Selangor, Mohd Khaidzir menekankan agensi berkenaan tidak mahu golongan terpinggir terus terperangkap dalam kitaran kemiskinan yang boleh ditangani melalui pendekatan bersepadu.
Beliau percaya perancangan bersepadu Kerajaan Negeri yang berpandu kepada corak kepadatan penduduk, penghijrahan rakyat dan faktor sosioekonomi berupaya merungkai masalah tersebut.
Katanya, Zakat Selangor mahu memastikan pemberian bantuan sesuai dengan keperluan sebenar pemohon sejajar hasrat negeri bagi meningkatkan taraf hidup dan membawa mereka keluar dari kelompok asnaf.



