SHAH ALAM, 19 FEB: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda hampir seluruh daerah di Selangor hingga 7 malam ini.
Daerah terlibat ialah Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran sama melibatkan Kuala Lumpur, Putrajaya.
Hujan lebat juga dijangka melanda seluruh Negeri Sembilan dan Melaka selain beberapa daerah di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berterusan lebih sejam.
Amaran ini adalah amaran jangka pendek yang sah selama maksimum enam jam bagi satu keluaran.
Orang awam dinasihat sentiasa merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, mengikuti media sosial mereka serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat.









