PKPS teroka kerjasama strategik, perkukuh sekuriti makanan

19 Feb 2026, 4:15 AM
PKPS teroka kerjasama strategik, perkukuh sekuriti makanan

SHAH ALAM, 19 FEB: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengadakan pertemuan bersama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah bagi meneroka potensi kerjasama strategik dalam hal sekuriti makanan.

PKPS menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, kunjungan hormat itu diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan disambut Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, baru-baru ini.

“Perbincangan merangkumi aspek pengukuhan rantaian bekalan makanan, inovasi sektor agro-makanan, perkongsian kepakaran serta inisiatif bersama bagi meningkatkan daya tahan sistem agro-makanan antara kedua-dua negeri.

“PKPS komited untuk terus memperluas jaringan kerjasama strategik yang mampu memperkukuh ekosistem makanan negara, menjana nilai ekonomi dan menyokong pembangunan yang mampan serta berdaya tahan,” katanya.

Kunjungan itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi bersama delegasi pengurusan kanan PKPS.

Januari lalu, PKPS melancarkan Pelan Transformasi Agribisnis 2026–2030 (SEED 2030) sebagai strategi jangka panjang bagi memperkukuh sekuriti dan akses makanan dalam mendepani ketidaktentuan global.

Amirudin dilapor berkata, pelan lima tahun itu merangkumi sektor perladangan, ternakan, tenusu, peruncitan dan pasaran antarabangsa yang dijangka melonjakkan hasil negeri secara signifikan.

SEED 2030 digerakkan melalui lima teras strategik, disokong oleh empat anak syarikat utama PKPS serta penggunaan automasi, analitik data dan sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Pelan itu selari dengan Dasar Agromakanan Negara dan Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang bertujuan memperkukuh daya tahan serta kebajikan rakyat Selangor.