SHAH ALAM, 27 JAN: Pelan Transformasi Agribisnes Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) 2026–2030 (SEED 2030) menjadi langkah konkrit Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sekuriti makanan negeri secara menyeluruh, mampan dan berdaya tahan.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pelan hala tuju strategik lima tahun itu bukan sekadar dokumen perancangan, sebaliknya usaha nyata membina sistem agromakanan negeri yang lebih tersusun, moden dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
“SEED 2030 menegaskan komitmen Selangor bahawa isu makanan bukan sekadar soal pertanian, tetapi teras kepada kestabilan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kesiapsiagaan strategik negeri, khususnya ketika dunia berdepan perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan global dan tekanan kos sara hidup.
“Melalui pengukuhan peranan PKPS sebagai agensi pelaksana strategik, pembangunan ekosistem agropeneur, penerapan inovasi dan pendigitalan serta peluasan inisiatif seperti Ehsan, Jualan Ehsan Rahmah, Gudang Makanan Selangor (GMS) dan Selangor Fruit Valley, kita sedang membina sistem agromakanan yang lebih moden, bersepadu dan inklusif,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Amirudin, komitmen berkenaan menjadi asas kepada keupayaan Selangor sebagai negeri berdaya tahan dalam mendepani pelbagai cabaran, termasuk krisis global, perubahan ekonomi dan tekanan masa hadapan.
“Setiap transformasi besar bermula dengan satu benih. Apa yang kita tanam hari ini akan menentukan kekuatan, daya tahan dan keselamatan sistem makanan Selangor untuk generasi akan datang.
“InsyaAllah, Selangor terus melangkah ke hadapan demi sebuah negeri yang berdaya tahan, berkeadilan dan mampan,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada PKPS sebagai agensi pertama yang tampil melancarkan pelan strategik sejurus amanat tahun baharu Dato’ Menteri Besar, semalam.
“Ini mencerminkan budaya kerja yang proaktif, berpandangan jauh dan pantas menterjemah aspirasi negeri kepada pelaksanaan yang nyata, selari dengan keperluan dan cabaran semasa,” katanya.


