SHAH ALAM, 18 FEB: Suami isteri terselamat dalam kebakaran melibatkan rumah teres dua tingkat di Taman Bayu Perdana, Klang, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 4.39 petang sebelum jentera bomba tiba lapan minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan 70 peratus bahagian rumah dengan pasangan suami isteri iaitu lelaki warga Bangladesh berusia 27 tahun dan wanita warga Indonesia berusia 38 tahun diselamatkan bomba.
“Mangsa wanita turut diberikan alat pernafasan oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi membabitkan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Andalas serta BBP Pelabuhan Klang dengan menggunakan jentera Fire Rescue Tender (FRT), Navara, Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta EMRS.
Dalam pada itu, Ahmad Mukhlis turut mengingatkan orang awam supaya sentiasa mematuhi langkah keselamatan kebakaran di kediaman bagi mengelak insiden tidak diingini.



