Dua rumah, dua kereta terbakar dalam kebakaran di Ampang

17 Feb 2026, 7:33 AM

SHAH ALAM, 17 FEB: Dua rumah musnah dan dua kenderaan rosak dalam kebakaran di Lorong Merbau, Kampung Melayu Ampang, Ampang, pagi tadi.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.47 pagi.

Menurutnya, jentera dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang serta BBP Pandan bergegas ke lokasi dan tiba empat minit kemudian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah kelas B berkeluasan 167.22 meter persegi yang terbakar 90 peratus.

“Api turut merebak ke sebuah lagi rumah berkeluasan 111.48 meter persegi milik pemilik sama dan menyebabkan kerosakan kira-kira 50 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Ahmad Mukhlis berkata kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi Xpander terbakar 60 peratus, manakala sebuah kereta jenis Hyundai rosak 10 peratus.

“Api berjaya dipadamkan tidak lama kemudian dan kerja overhaul sedang dijalankan bagi memastikan tiada punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.