JPJ kesan taktik warga asing guna lesen memandu penduduk tempatan

17 Feb 2026, 4:21 AM
JPJ kesan taktik warga asing guna lesen memandu penduduk tempatan

SHAH ALAM, 17 FEB: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan taktik segelintir warga asing yang menggunakan lesen memandu milik penduduk tempatan bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan dan Operasi JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, kegiatan itu dikesan menerusi operasi berterusan yang dijalankan di seluruh negara.

Menurutnya, beberapa kes direkodkan di negeri Pantai Timur termasuk Kelantan dan Terengganu, hasil pemeriksaan ke atas pemandu yang mencurigakan.

“Dalam operasi dijalankan, ada antara mereka mengemukakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ketika diperiksa.

“Bagaimanapun, pemegang kad berkenaan tidak layak memiliki lesen memandu atau kenderaan di negara ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Khas Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina (Ops TBC 2026) di Terminal Bas Lembah Sireh, malam tadi.

Jazmanie berkata JPJ akan terus memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengekang penyalahgunaan dokumen serta memastikan hanya individu yang sah dibenarkan memandu di negara ini.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang jalan raya dan peraturan imigresen.

Apa reaksi anda?