SHAH ALAM, 24 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor membuka permohonan program MyLesen B2 untuk membantu individu berkelayakan memiliki lesen motosikal secara sah.
Agensi itu memaklumkan, program di peringkat negeri itu terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 16 tahun ke atas, sihat fizikal dan mental serta belum memiliki sebarang lesen memandu.
Antara syarat permohonan lain termasuk pemohon mestilah bebas daripada senarai hitam mahkamah, JPJ dan polis, selain tergolong sebagai penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau golongan B40 yang disahkan, termasuk tanggungan.
"Keutamaan diberikan kepada Kadet JPJ, pelajar sekolah serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT)," menurut hebahan agensi itu.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan dengan mengimbas kod QR yang disediakan pada poster rasmi program.
Borang permohonan yang lengkap perlu dihantar ke Bahagian Pelesenan Pemandu, JPJ Negeri Selangor atau cawangan JPJ berhampiran sebelum tarikh tutup permohonan pada 6 Februari 2026.
Tahun lalu, seramai 1,200 belia daripada golongan B40 di Selangor menerima lesen memandu motosikal Kelas B2 menerusi Program MyLesen Tahun 2025 yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor.
Program MyLesen B2 diperkenalkan di bawah inisiatif Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang menyasarkan pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi serta golongan belia daripada keluarga berpendapatan rendah di seluruh negeri.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen dan keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan B40 meningkatkan taraf sosioekonomi serta pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan, khususnya dalam sektor ekonomi gig.
Pada masa sama, program berkenaan turut bertujuan melahirkan pemandu yang kompeten dan berdisiplin, sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan peraturan serta pembudayaan keselamatan jalan raya.


