JPJ nafi lesen memandu percuma tular, orang ramai diminta berhati-hati

1 Mei 2026, 9:03 AM
JPJ nafi lesen memandu percuma tular, orang ramai diminta berhati-hati

SHAH ALAM, 1 MEI: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menafikan dakwaan berhubung pengeluaran lesen memandu percuma yang kini tular di media sosial termasuk platform Threads.

Agensi itu memaklumkan pihaknya menerima aduan daripada orang ramai mengenai penyebaran iklan palsu yang menawarkan lesen memandu secara percuma.

Menurut JPJ, iklan yang tersebar itu adalah tidak sah dan tidak dikeluarkan oleh jabatan berkenaan.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang promosi yang ditawarkan melalui akaun atau platform yang meragukan bagi mengelakkan kekeliruan serta risiko kerugian,” menurut kenyataan menerusi Facebook.

Dalam masa sama, JPJ turut mengingatkan orang ramai agar tidak keliru dengan inisiatif rasmi Program MyLesen B2 yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Menurut kenyataan itu, sesi permohonan bagi program berkenaan telah pun ditutup dan hanya individu terpilih akan dihubungi untuk proses pendaftaran di institut memandu.

JPJ turut menegaskan bahawa sebarang maklumat rasmi berkaitan perkhidmatan jabatan hanya akan disalurkan melalui saluran rasmi termasuk Facebook Ibu Pejabat dan negeri.

Jabatan itu menjelaskan bahawa tiada sebarang penglibatan akaun tidak rasmi dalam penyebaran maklumat berkaitan perkhidmatan mereka.

“Orang ramai digalakkan untuk sentiasa mendapatkan pengesahan daripada saluran rasmi JPJ sebelum mempercayai atau berkongsi sebarang maklumat,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebarang aduan atau pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui Portal Aduan Rasmi JPJ di https://jpj.spab.gov.my/ selain komitmen berterusan jabatan itu melindungi pengguna daripada penipuan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.