SHAH ALAM, 16 FEB: Polis menahan dua lelaki warga Indonesia bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita dengan kesan jerutan di leher di kawasan kebun pisang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu kira-kira jam 11.07 pagi, semalam.
“Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan polis digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal.
"Hasil pemeriksaan menemui mayat seorang wanita warga Indonesia dengan kesan jerutan pada bahagian leher yang menimbulkan syak berlakunya perbuatan jenayah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, hasil siasatan lanjut dan risikan mendapati kejadian dipercayai melibatkan dua lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai tukang kebun.
Sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan kedua-dua suspek telah ditahan untuk membantu siasatan.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.


