SHAH ALAM, 14 FEB: Seramai 754 individu ditahan atas kesalahan membuang sampah di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) sejak Januari lalu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah itu 478 individu akan didakwa di mahkamah, termasuk 137 warga asing, lapor Kosmo!.
“Semalam, buat kali pertama, 15 individu dihukum menjalani khidmat masyarakat selama enam jam seperti menyapu jalan, membersihkan longkang dan tandas serta dikenakan kompaun RM1,500,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Kasih Madani Parlimen Tambun sempena Tahun Baharu Cina dan Ramadan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy, hari ini.
Pada majlis sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan RM300 kepada 3,000 pelajar di Parlimen Tambun.
Nga berkata orang ramai perlu menjaga kebersihan bagi mengelakkan penyakit dan memastikan persekitaran kekal bersih.
“Kepada pelajar, jaga kebersihan kerana perintah khidmat masyarakat telah dilaksanakan. Kita mahu Malaysia bersih dan rakyat hidup sihat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Sumbangan Khas Madani berjumlah RM1 juta disalurkan kepada 3,000 pelajar daripada 16 sekolah di Parlimen Tambun menjelang Tahun Baharu Cina dan Ramadan.
Katanya, sumbangan daripada Yayasan Berjaya Cares itu diharap dapat membantu meringankan beban pelajar, khususnya daripada keluarga B40.



