SHAH ALAM, 3 MAC: Lebih 1,000 individu dikenakan perintah khidmat masyarakat selepas didapati melakukan kesalahan berkaitan kebersihan awam, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Beliau berkata kebanyakan pesalah telah didakwa di mahkamah dan hukuman itu dilaksanakan sebagai langkah mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran, lapor Kosmo!.
“Perintah khidmat masyarakat kini menjangkau lebih 1,000 orang dan kebanyakannya telah didakwa ke mahkamah.
“Kita akan laksanakan hukuman ini secara berfasa dan saya melihat ada impak ketara terhadap tahap kebersihan awam,” katanya selepas Program Ihya Ramadan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurutnya, kerajaan turut merancang reformasi pengurusan kebersihan bermula tahun hadapan bagi memperkukuh sistem sedia ada.
Antara langkah yang sedang diperhalusi termasuk pelaksanaan pembersihan waktu malam, penggunaan kenderaan elektrik (EV) bagi kutipan sisa pepejal, operasi pembersihan menyeluruh (deep cleansing) dan pembersihan jalan (road cleansing) secara lebih sistematik.
Dalam perkembangan berasingan, Nga berkata KPKT merancang membangunkan Projek Residensi Rakyat (PRR) terbesar negara melibatkan 1,319 unit kediaman di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.
Katanya projek itu bakal menyediakan rumah transit khusus untuk mahasiswa dan golongan muda di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“PRR ini akan menjadi antara projek terbaik yang dibangunkan dan butiran lanjut akan diumumkan pada majlis pecah tanah nanti,” katanya.








