Amaran hujan lebat di KL, Putrajaya, Selangor hingga 7 malam

14 Feb 2026, 8:31 AM
Amaran hujan lebat di KL, Putrajaya, Selangor hingga 7 malam

SHAH ALAM, 14 FEB: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 7 malam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran sama melibatkan seluruh Pulau Pinang, Perak dan Melaka selain beberapa daerah di Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah.

Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berterusan lebih sejam.

Amaran ini adalah amaran jangka pendek yang sah selama maksimum enam jam bagi satu keluaran.

Orang awam dinasihat sentiasa merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, mengikuti media sosial mereka serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat.