Komuniti Puchong Perdana miliki gelanggang sepak takraw baharu

14 Feb 2026, 5:01 AM
Komuniti Puchong Perdana miliki gelanggang sepak takraw baharu

PUCHONG, 14 FEB: Hasrat komuniti Puchong Perdana untuk memiliki gelanggang sepak takraw yang lebih selesa akhirnya menjadi kenyataan apabila kemudahan baharu siap dibina menerusi Projek Selangor Penyayang.

EXCO Mobiliti, Ng Sze Han berkata gelanggang itu dibina bagi menggantikan kemudahan lama yang kurang memuaskan dan tidak lagi sesuai digunakan.

“Gelanggang baharu ini dibina di kawasan Puchong Perdana atas permintaan komuniti setempat. Sebelum ini, pemain terpaksa menggunakan gelanggang yang kurang selesa,” katanya ketika merasmikan gelanggang baharu itu di sini, hari ini.

EXCO Mobiliti merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han melakukan gimik perasmian ketika hadir dalam majlis perasmian Gelanggang Sepak Takraw di Dataran As-Salam, Puchong pada 14 Febuari 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menurut beliau, projek itu melibatkan peruntukan RM150,000 daripada Kerajaan Negeri yang digunakan sepenuhnya untuk membina gelanggang berkenaan.

Pada masa sama, Sze Han turut merakamkan penghargaan atas kelulusan peruntukan berkenaan serta menekankan kepentingan penyelenggaraan jangka panjang kemudahan itu.

Katanya, kerjasama pemimpin dan komuniti setempat amat penting bagi memastikan gelanggang berkenaan sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh dimanfaatkan secara berterusan.

Azellan Shah, 45, ketika majlis perasmian Gelanggang Sepak Takraw di Dataran As-Salam, Puchong pada 14 Febuari 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Sementara itu, penganjur majlis, Azellan Shah, 45, berkata penduduk setempat amat menghargai kemudahan baharu itu kerana ia membuka lebih banyak ruang untuk penganjuran aktiviti sukan.

“Tahun hadapan, kami merancang untuk menganjurkan klinik sepak takraw untuk anak-anak sekolah di kawasan ini. Kami juga berharap masyarakat setempat sama-sama menjaga gelanggang supaya kekal baik untuk kegunaan jangka panjang,” katanya.

Jelas beliau, pembinaan gelanggang tersebut dijangka dapat memperkukuh semangat kesukanan dan mengeratkan hubungan komuniti setempat melalui aktiviti sihat dan bermanfaat.