SHAH ALAM, 13 FEB: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan terus mengukuhkan operasi dan infrastruktur bagi memastikan bekalan air kekal stabil, mampan dan boleh dipercayai tahun ini, di samping memperluas kerjasama di peringkat antarabangsa.
Menurut kenyataan syarikat itu, Air Selangor mahu terus memainkan peranan sebagai peneraju industri melalui kerjasama strategik bagi menghadapi peningkatan permintaan air serta cabaran perubahan iklim.
"Selain itu, Air Selangor turut menyasarkan kemajuan berterusan dalam pembinaan loji rawatan air (LRA) termasuk Rasau Fasa 1 (700 MLD, siap 2027), Labohan Dagang Fasa 2 (200 MLD, 2029), Langat 2 Fasa 2 (1,130 MLD, 2030) dan Rasau Fasa 2 (700 MLD, 2031)," menurut kenyataan itu.
Air Selangor juga akan memperkukuh sistem agihan bekalan air dan meneruskan usaha mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) menerusi kontrak berasaskan prestasi yang baharu.
Pada masa sama, syarikat itu komited memastikan pengguna terus menerima bekalan air bersih dan selamat, sekali gus meningkatkan pengalaman pelanggan bagi kediaman dan premis perniagaan.


