SHAH ALAM, 25 JUL: Selangor mencatat pencapaian terbaik ekoran tiada gangguan bekalan air berskala besar sejak tahun lalu, khususnya selepas projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) beroperasi.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata kejayaan itu didorong tindakan pantas dan berkesan SJAM yang mengekal kestabilan bekalan meski terdapat pencemaran air.
Beliau memberitahu tiada henti tugas loji rawatan air (LRA) berlaku akibat pencemaran hasil pemantauan berterusan bagi memastikan operasi loji diteruskan tanpa menjejaskan pengguna.
“Peratus kejayaan SJAM adalah 100 peratus. Setakat ini, tiada gangguan bekalan air lagi di Selangor setakat tahun lalu. Memang ada pencemaran tapi tidak ganggu bekalan air kita.

“Sudah 14 kali kita aktifkan SJAM. Setakat ini, tiada gangguan air langsung di Selangor (mula aktif Jun 2025). Malah, rizab air kita juga makin meningkat,” katanya kepada Media Selangor.
SJAM antara inisiatif utama dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sebagai sistem perlindungan sumber air daripada masalah pencemaran atau kemarau berpanjangan.
Namun, Ir Izham mengakui, pelaksanaan SJAM berdepan pelbagai cabaran seperti masalah pengambilan tanah dan isu pengalihan utiliti hingga mengambil masa panjang dan perbelanjaan besar.
“Kita mahu pastikan sumber air kita bebas pencemaran. Walaupun berjaya ditangani melalui SJAM tapi ia meningkatkan penggunaan elektrik untuk pam dan bahan kimia yang lebih banyak.
“Jadi, ia meningkatkan kos sedangkan tanggungjawab menjaga sumber air ini adalah tanggungjawab bersama. Ini cabaran kita dalam mengurus sumber air bersih di Selangor,” katanya.
Selain itu, beliau memberitahu Selangor akan memiliki loji rawatan air terbesar dan termoden di Asia Tenggara yang menghasilkan 1,400 juta liter sehari (JLH) melalui Projek Skim Bekalan Air Rasau.
Beliau menjelaskan hasrat itu selari sasaran RS-1 bagi menjamin bekalan air 24 jam sekali gus membuktikan kecekapan sistem pengurusan dalam menghadapi cabaran pencemaran.
“Setakat ini, LRA Rasau fasa satu dijangka siap pada Mac tahun depan dan selepas itu, Selangor akan dapat tambah 700 JLH lagi untuk simpanan air masa hadapan,” katanya.
Projek Skim Bekalan Air Rasau melibatkan pembinaan LRA Sungai Rasau Fasa 1 dan fasa dua, kedua-duanya menghasilkan 700 JLH setiap satu apabila siap sepenuhnya menjelang tahun 2030.
Sembilan bekas kolam lombong seluas 489 hektar dijadikan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dwifungsi pertama di Malaysia bagi menyokong pembekalan air dan sistem tebatan banjir.
Menurut Ir Izham, simpanan air negeri juga mampu bertahan enam bulan melalui rizab simpanan air SJAM dan inisiatif Skim Simpanan Air Luar Sungai Selangor (SORSS) jika musim kemarau melanda.
“Kita ada rizab yang boleh bertahan tiga bulan melalui SJAM dan ditambah inisiatif SORSS, kita boleh tambah lagi tiga bulan. Jadi kita boleh bertahan enam bulan tanpa hujan,” katanya.
SORSS diperkenal pada tahun lalu sebagai usaha penjenamaan semula bagi lebih 100 buah kolam takungan dan bekas lombong di negeri itu untuk berfungsi sebagai sumber air alternatif.
Projek bernilai RM320 juta itu berupaya menyediakan bekalan air bersih tanpa gangguan kepada lebih 1.5 juta akaun pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.








