SHAH ALAM 13 FEB: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di seluruh negara sehingga jam 6 petang ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca buruk itu berpotensi berlaku di Kedah membabitkan daerah Kulim dan Bandar Baharu; Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan); serta Perak melibatkan Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.
Di Selangor, kawasan Sabak Bernam turut diramal terjejas.
Amaran sama dikeluarkan bagi beberapa bahagian di Sarawak iaitu Sibu (Selangau), Mukah, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu, Miri dan Limbang.
Di Sabah, kawasan yang terlibat termasuk Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Tawau dan Semporna), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) serta Kudat. Wilayah Persekutuan Labuan juga dijangka mengalami keadaan cuaca sama.
MetMalaysia memaklumkan amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.
Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek dan sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran. Orang ramai dinasihatkan berwaspada dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya.



