RM550,000 bantuan Ramadan disalur kepada 45 masjid, surau DUN Hulu Kelang

13 Feb 2026, 7:51 AM
RM550,000 bantuan Ramadan disalur kepada 45 masjid, surau DUN Hulu Kelang

GOMBAK, 13 FEB: Sebanyak RM550,000 bantuan sempena Ramadan disalurkan kepada 45 masjid dan surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang.

Penyelaras DUN, Juwairiya Zulkifli berkata lapan daripadanya masjid, manakala selebihnya surau dan surau solat Jumaat di kawasan berkenaan.

Menurut Juwairiya, daripada jumlah tersebut setiap masjid menerima RM20,000 diikuti surau solat Jumaat (RM15,000) dan surau (RM10,000).

"Untuk DUN Hulu Kelang sahaja jumlah sumbangan kita terima RM550,000. Terima kasih saya ucapkan kepada Dato' Menteri Besar.

"Ini sangat bermakna sedikit sebanyak membantu pengurusan institusi keagamaan ini untuk membuat persiapan menjelang dan ketika Ramadan," katanya kepada Media Selangor.

Selasa lalu, sebanyak 137 masjid, surau dan madrasah di Parlimen Gombak menerima sumbangan Ihya’ Ramadan berjumlah RM1.6 juta.

Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata penerima sumbangan merangkumi 22 masjid, 20 surau Jumaat , 77 surau serta 18 musolla atau madrasah di kawasan Parlimen Gombak.