Imarah Ramadan: DUN Bukit Antarabangsa salur RM170,000 kepada masjid, surau

17 Feb 2026, 8:16 AM
Imarah Ramadan: DUN Bukit Antarabangsa salur RM170,000 kepada masjid, surau

SHAH ALAM, 17 FEB: Sebanyak RM170,000 disalurkan kepada masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program keagamaan dan kebajikan.

Wakil rakyatnya, Mohd Kamri Kamaruddin berkata inisiatif tersebut bertujuan membantu pihak pengurusan masjid dan surau membuat persiapan awal termasuk merancang aktiviti sepanjang bulan mulia itu.

"Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban kewangan khususnya bagi penganjuran program tadarus al-Quran, majlis berbuka puasa, penyediaan moreh serta penyaluran bantuan kepada golongan asnaf.

"Peruntukan ini juga boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti kebajikan yang memberi impak langsung kepada komuniti setempat sepanjang Ramadan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua Nazir Masjid, Pengerusi Surau serta wakil kariah yang hadir menerima sumbangan berkenaan.

"Bantuan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa peranan institusi masjid dan surau sebagai pusat pembangunan rohani dan kebajikan masyarakat di Bukit Antarabangsa.

“Semoga Ramadan ini kita lalui dengan penuh ketakwaan dan keimanan," katanya.