AMPANG JAYA, 10 FEB: Sebanyak 137 masjid, surau dan madrasah di Parlimen Gombak menerima sumbangan Ihya’ Ramadan berjumlah RM1.6 juta.
Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, di sini, hari ini.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, penerima sumbangan merangkumi 22 masjid, 20 surau Jumaat , 77 surau serta 18 musolla atau madrasah di kawasan Parlimen Gombak.
“Sumbangan ini memang setiap tahun kita ada untuk program Ihya’ Ramadan dan kita beri sumbangan kepada masjid dan surau.
“Semoga dengan sumbangan ini, program pengimarahan sepanjang Ramadan ini dapat dijalankan dengan baik oleh pihak mereka.
“Biasanya masjid atau surau ini mereka akan gunakan untuk program Ihya’ Ramadan seperti moreh setiap malam, tadarus dan juga seperti Nuzul Quran yang mereka akan gunakan untuk bantuan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Azri berkata Yayasan MBI meneruskan pelaksanaan program Ihya’ Ramadan tahun ini dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM4 juta.
Jelasnya, peruntukan itu merangkumi sumbangan kepada masjid dan surau, bantuan kepada kumpulan rentan, sumbangan kurma dan kuih raya, selain pelbagai program bagi mengimarahkan Ramadan.
Sementara itu, Pengurus Masjid Jamek Al-Amaniah Gombak, Habib Abdul Fisol berkata sumbangan RM20,000 yang diterima akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan program pengimarahan Ramadan di masjid berkenaan.
“Antaranya berbuka puasa setiap hari yang akan disertai kira-kira 400 jemaah setiap hari, sumbangan bubur lambuk. Jadi sumbangan ini boleh membantu perbelanjaan program itu,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Surau Al Ehsan Kampung Baru Batu Caves, Ramlan Suparman berkata sumbangan RM10,000 yang diterima bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah membolehkan lebih banyak aktiviti keagamaan dan kebajikan dilaksanakan sepanjang Ramadan termasuk program khatam al-Quran.


