Tahun Baharu Cina: 15 barang harga terkawal, diskaun Jualan Rahmah hingga 30 peratus - KPDN

13 Feb 2026, 6:29 AM
Tahun Baharu Cina: 15 barang harga terkawal, diskaun Jualan Rahmah hingga 30 peratus - KPDN

SHAH ALAM, 13 FEB: Pengguna berpeluang menikmati 15 jenis barangan pada harga terkawal sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2026 mulai hari ini hingga 21 Februari.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berkata pengguna turut berpeluang menikmati diskaun sehingga 30 peratus melalui Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di 182 lokasi di seluruh Selangor sejak 3 hingga 19 Februari.

"Semena hari pertama penguatkuasaan SHMMP, pemeriksaan dijalankan di Pasar Raya Giant Bukit Tinggi, Klang disertai EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail bersama Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari melibatkan 10 penguat kuasa.

"Fokus pemeriksaan adalah pemantauan harga maksimum dan penggunaan tanda harga merah jambu (pink tag). Hasil pemeriksaan mendapati premis mematuhi skim, malah sebahagian barangan dijual pada harga lebih rendah daripada maksimum yang ditetapkan. Prestasi bekalan di seluruh Selangor juga dilaporkan terkawal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menjalankan pemeriksaan pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pasar Raya Giant Bukit Tinggi, Klang pada 13 Februari 2026. Foto KPDN Selangor

Dalam pada itu, KPDN Selangor menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang melanggar skim, termasuk denda sehingga RM100,000 bagi individu, RM500,000 bagi syarikat, atau penjara sehingga tiga tahun.

Rakyat boleh menyalurkan aduan melalui:

  • WhatsApp: 019-848 8000

  • Aplikasi Ez Adu KPDN

  • Hotline: 1-800-886-800

  • Portal: http://eduan.kpdn.gov.my