Bazar Ramadan Selangor jana hampir RM668 juta, libat 15,000 peniaga

11 Feb 2026, 8:45 AM
Bazar Ramadan Selangor jana hampir RM668 juta, libat 15,000 peniaga

SHAH ALAM, 11 FEB: Bazar Ramadan di Selangor kini menjadi pemacu ekonomi dengan nilai jualan mencecah hampir RM668 juta tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kira-kira 15,000 peniaga terlibat di seluruh negeri berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Bazar Ramadan bukan sekadar tempat membeli juadah berbuka, tetapi turut mewujudkan rantaian ekonomi yang kukuh setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis serahan permit bazar Ramadan kepada 2,123 peniaga di Pusat Konvensyen MBSA Seksyen 13 di sini, hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri terus menambah baik pelaksanaan bazar termasuk melalui Platform Selangor (PLATS) yang diperkenalkan ketika pandemik Covid-19 bagi membantu peniaga menjana pendapatan.

“Alhamdulillah, daripada adaptasi ketika pandemik itu, kita terus berkembang dalam keadaan normal hari ini.

“Tahun lalu, transaksi digital melalui kerjasama PLATS, MBI, PBT dan Agrobank mencecah kira-kira RM7 juta melibatkan 1,411 lot,” katanya.