MYSaveFood bantu kurangkan sampah bazar Ramadan Selangor

9 Mac 2026, 2:54 PM
MYSaveFood bantu kurangkan sampah bazar Ramadan Selangor
MYSaveFood bantu kurangkan sampah bazar Ramadan Selangor

SHAH ALAM, 9 MAC: Kadar kutipan sampah di bazar Ramadan seluruh Selangor mencatat penurunan kira-kira 20 peratus setakat ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Datuk Ramli Mohd Tahir berkata kutipan lebihan sampah ketika ini dianggarkan antara 50 hingga 60 tan sehari melibatkan 155 lokasi bazar Ramadan dengan hampir 10,000 tapak niaga di tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, penurunan itu antaranya didorong usaha beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan program menyelamatkan lebihan makanan di bazar Ramadan.

“Terima kasih kepada NGO yang melaksanakan program MYSaveFood dengan datang mengutip lebihan makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

“Sekurang-kurangnya makanan tidak dibazirkan dan jumlah sampah juga berkurang,” katanya.

Program MYSaveFood dijalankan sejak 23 Februari hingga 11 Mac, bermula jam 5 petang setiap hari sebagai usaha berterusan mengurangkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan.

Dalam masa sama, Ramli menyeru peniaga bazar Ramadan serta pengunjung supaya mengurangkan pembaziran makanan.

“Saya menyeru peniaga supaya merancang jumlah makanan yang hendak dijual, manakala pembeli pula membeli sekadar perlu supaya tidak berlaku pembaziran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iftar bersama kira-kira 120 anak yatim dan pelajar tahfiz di Seksyen 7 di sini hari ini.

Program anjuran KDEBWM dengan kerjasama Right On Track (ROT) dan Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) itu turut menyumbang pakaian raya serta juadah berbuka puasa kepada mereka yang diraikan.

“Setiap tahun pada Ramadan, KDEB akan mengenal pasti rumah anak yatim atau rumah kebajikan untuk disantuni sebagai usaha membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ramli turut meluahkan rasa kesal susulan aduan berhubung tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah pukal di sebuah masjid di Bukit Jelutong.

“Masjid ialah tempat yang suci dan tidak sepatutnya dijadikan tempat pembuangan sampah.

“Jika ada yang melihat atau mempunyai bukti, salurkan kepada pihak majlis atau KDEB supaya tindakan boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata tindakan terhadap individu terbabit boleh diambil oleh pihak berkuasa tempatan sekiranya pelaku berjaya dikenal pasti.

Pada masa sama, Ramli memberi jaminan jadual kutipan sampah sepanjang Aidilfitri akan berjalan seperti biasa.

“Kita sudah susun jadual dan pasukan akan bertugas seperti biasa,” katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya membuang sampah secara bertanggungjawab di tempat yang betul.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.